mufiza
mufiza


Menyahut panggilan Kaabah!

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Orang-orang yang yang datang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Allah. Jika mereka berdoa, Allah menyahut doa mereka. Jika mereka beristighfar, Allah mengampuni dosa mereka." (Riwayat an-Nasa'i, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)


Imam al-Ghazali pernah berkata, "Perjalanan kita ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji, ibarat perjalanan kita menuju Allah SWT. Ibarat perjalanan kita menuju ke akhirat dan ibarat perjalanan kita menuju kematian.

RINGKASAN HAJI

1. Pengertian Haji/Umrah Dan Bila Difardukan

Haji pada syarak mengunjungi Baitullahil Haram dalam bulan-bulan haji kerana mengerjakan tawaf, saie dan wuquf di Arafah dengan menurut syarat-syaratnya serta menunaikan segala wajib-wajibnya.

Pengertian Umrah
Umrah pada syarak menziarahi Baitullahil Haram kerana mengerjakan tawaf dan saie dengan menurut syarat-syaratnya serta menunaikan segala wajib-wajibnya.

Bila Difardukan?


Difardukan pada tahun lima hijrah, tetapi mula dilaksanakan oleh para sahabat dalam tahun ke 9 Hijrah dan Rasulullah s.a.w menunaikannya pada tahun ke 10 Hijrah yang dinamakan “Hajjatul Wada”.


2. Dalil Wajib Haji Dan Umrah

Firman Allah bermaksud:”Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu siapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadaNya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat sesuatupun dari sekian makhluk)” Surah Al-Imran Ayat

Firman Allah bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah” Surah Al-Baqarah Ayat 96

Firman Allah bermaksud: “Dan serukanlah kepada umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang (ke rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan berbagai faedah kepada mereka serta mengingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu”.

Maksud hadis dari Ibnu Umar R.A, Rasulullah S.A.W bersabda “Islam itu dibina di atas 5 perkara mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah”

Maksud hadis dari Saidina Ali R.A., Rasulullah S.A.W. bersabda “Sesiapa yang memiliki harta benda dan kenderaan untuk menyampaikan ke Baitullah tetapi tidak mengerjakan haji maka bila ia mati akan menjadi sebagai Yahudi atau Nasrani”.



3. Hikmah Dan Kelebihan Haji

Mendapat Balasan Syurga
Maksud hadis dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda “Haji yang mabrur tidak ada balasan kecuali syurga”
Riwayat Bukhari dan Muslim

Diampunkan Dosa
Maksud hadis dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda “sesiapa yang menunaikan haji dan tidak melakukan kefasikan ataupun perbuatan yang fasik akan diampunkan dosanya seperti ia baru dilahirkan oleh ibunya”.

Doa Dimakbulkan
Maksud sabda Rasulullah S.A.W., “Jemaah haji dan jemaah umrah adalah tetamu Allah. Doa-doa mereka dimakbulkan dan bila memohon keampunan diampunkan”.

Mendapat Gandaan Pahala
Maksud sabda Rasulullah S.A.W, “Mengeluarkan perbelanjaan untuk menunaikan haji adalah sama seperti mengeluarkan perbelanjaan fisabillah 1 dirham itu diganda dengan 700 dirham”.




4. Falsafah Haji


Perhimpunan tahunan. Sebagai lambang perpaduan dan satu haluan umat Islam. Meraka bertemu bagi tujuan merapatkan hubungan dan bekerjasama dalam semua urusan harian.
Manusia adalah sama di sisi Allah dengan tidak mengira samada raja, hamba atau kaya atau miskin. Allah hanya memandang kepada amalan dan ketakwaan.

Mempelajari pengorbanan sepertimana yang berlaku dalam sirah Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Allah Ismail.

Mempelajari dari latihan menjaga pantang larang dalam Ihram sebagai contoh untuk dilaksanakan di dalam kehidupan seharian:-

Buat perkara yang baik boleh mengundang berkat, buat perkara yang jahat boleh mengundang musibat.

Buat perkara yang baik boleh mendapat rahmat, buat perkara yang jahat boleh mendapat laknat.

Buat perkara yang baik boleh mendapat pahala, buat perkara yang jahat boleh mendapat dosa.

Buat kerja yang baik bermakna buat kerja halal, buat kerja jahat bermakna buat kerja yang haram.

Buat kerja yang baik adalah perbuatan maaruf, buat perkara yang jahat itu adalah perbuatan mungkar.

Buat perkara yang baik bermakna buat perbuatan yang terpuji, buat perkara yang jahat bermakna buat perbuatan yang tercela.

Buat perkara yang baik boleh menguntungkan, buat perkara yang jahat boleh merugikan.

Buat perkara yang baik mendapat balasan syurga, buat perkara yang jahat balasannya
neraka.



5. Kelebihan Tanah Suci Makkah

Tempat bersejarah, tempat lahirnya Rasulullah S.A.W
Tempat turunnya wahyu.
Tempat menunaikan fardhu haji.
Sabda Rasulullah S.A.W
“Sesiapa yang meninggal di Makkah samada jemaah haji atau jemaah umrah tidak akan dikira atau ditanya dan ia akan dimasukkan di syurga”
Dajjal tidak masuk Kota Suci Makkah.



6. Kelebihan Masjid Makkah

Sembahyang berganda dengan gandaan 100,000 kali ganda.
Adanya Baitullah di mana ganjaran pahala yang besar bila melakukan tawaf kelilingnya.
Kiblat umat Islam seruluh dunia bertuju arah semasa sembahyang.
Ada tempat-tempat mustajab seperti Multazam, Hijir Ismail dan maqam Ibrahim.

7. Kelebihan Air Zam-Zam

Sebaik-baik air di muka bumi.
Air minuman yang mengenyangkan.
Penawar segala penyakit.
Menjadi ubat mengikut niat.



8. Talbiah

Bertalbiah iaitu menyahut seruan Allah atau pengakuan atau pembuka kata dan pembuka tirai serta ikrar, iltizam, komitmen perjanjian dan berkata-kata atau berdialog dengan Allah.

Hadith-hadith Rasulullah:-

Hadith dari Zaid bin Khalid Al Jahni r.a telah datang Malaikat Jibril dan berkata: wahai Muhammad ajaklah sahabat-sahabat kamu untuk mengangkat suara mereka bertalbiah kerana talbiah itu adalah syiar atau lambang haji.
Riwayat Ibni Majah.

Hadith dari Sahal bin Saad r.a. sabda rasulullah S.A.W. “bila setiap muslim bertalbiah maka akan bertalbiah bersama-samanya mereka yang berada di sebelah kanan dan kirinya samada batu atau pokok-pokok sepanjang perjalanan dari sini dan sana. Riwayat Tarmizi dan Ibni Majah.



Hadith dari Saidina Abu Bakar As Sidiq r.a. Rasulullah S.A.W telah ditanya apakah amalan haji yang mulia. Baginda menjawab iaitu bertalbiah dengan suara yang nyaring dan menyembelih bintang korban.
Riwayat Tarmizi, Ini Majah dan Abu Zarr

Hadith dari Jabir bin Abdullah r.a. Sabda Rasulullah “setiap mereka yang berihram bila menghabiskan masanya bertalbiah hingga tenggelam matahari maka akan tenggelam jugalah dosa-dosanya atau hapuslah atau bersihlah dosa-dosanya dan balik bersih seperti baru dilahirkan oleh ibunya”.
Riwayat Ibni Majah
“Ya Allah, kurniakanlah rahmat Mu kepada kami agar kami terpilih menjadi salah seorang tetamu Mu di musim haji nanti………. Amin”